Polis minta saksi kejadian tembak di Klang tampil

Polis minta saksi kejadian tembak di Klang tampil

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan satu kejadian tembak berlaku di kawasan Taman Mesra Indah dekat Klang, malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 pada 8.35 malam.

“Kini kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.

“Polis meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Mohd Harman Mohd Haniff di talian 019-2100334 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan beberapa video mengenai seorang lelaki terkulai tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai maut selepas ditembak tular di media sosial.

Dalam kejadian itu, seorang wanita dipercayai ibu mangsa tidak mampu menahan sebak sebaik mendapat tahu anaknya maut ditembak.

Wanita itu tiba di lokasi kejadian pada 11.15 malam bersama beberapa individu lain dan mahu melihat keadaan mangsa, namun dihalang anggota polis bertugas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top