Polis minta saksi kes cabul budak di kedai serbaneka tampil bantu siasatan

Polis minta saksi kes cabul budak di kedai serbaneka tampil bantu siasatan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis meminta saksi kejadian lelaki warga Bangladesh yang didakwa mencabul kanak-kanak perempuan di kedai serbaneka di sini, seperti tular di media sosial untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis terkesan penularan video mengenai kejadian itu di aplikasi X pada 12.40 tengah hari semalam.

Menurutnya, hantaran itu mendakwa lelaki terbabit mencabul dan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan video lain yang menunjukkan dia dikasari.

“Semakan mendapati satu laporan polis diterima pada 4 petang, 12 Mac lalu daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa anak perempuannya berusia sembilan tahun dicabul oleh seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di kawasan Kajang.

“Kejadian cabul dipercayai berlaku pada 27 Februari lalu. Laporan dibuat dua minggu kemudian selepas mangsa menceritakan kejadian kepada pengadu pada 11 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Saksi kejadian kes ini masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya.

Justeru, beliau menyeru individu yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norfaziana Sirkam di talian 019-5759045 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top