Polis nafi warga Bangladesh protes di Bukit Bintang, video tular palsu, disunting guna AI

Polis nafi warga Bangladesh protes di Bukit Bintang, video tular palsu, disunting guna AI

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan warga Bangladesh mengadakan protes di Bukit Bintang, di sini, seperti dipaparkan sebuah video tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semakan mendapati video berkenaan menggunakan rakaman sambutan Tahun Baharu 2022 yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, rakaman turut memaparkan keadaan Bangunan Yayasan Selangor yang lama dan usang, sekali gus membuktikan ia bukan rakaman semasa.

“Tiada sebarang perhimpunan membabitkan warga Bangladesh atau mana-mana pihak di Bukit Bintang sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

“Isu yang dilaungkan dalam video berkenaan pula berkaitan tuntutan pembentukan Bahagian Comilla di Bangladesh pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan orang ramai berkumpul di kawasan didakwa Bukit Bintang.

Hantaran berkenaan menggunakan tajuk ‘Warga Bangladesh berhimpun di Bukit Bintang, pihak berkuasa buat apa?’ sehingga menimbulkan persoalan mengenai dakwaan perhimpunan warga asing di ibu negara.

Video turut memaparkan tulisan dalam bahasa Bengali berkaitan tuntutan pembentukan Bahagian Comilla sebagai bahagian pentadbiran baharu, di Bangladesh

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top