Polis Perak tumpu 48 lokasi sesak, 29 tempat kerap kemalangan

Polis Perak tumpu 48 lokasi sesak, 29 tempat kerap kemalangan

IPOH: Polis Perak mengenal pasti 48 lokasi ‘hotspot’ kesesakan dan 29 lokasi ‘blackspot’ kemalangan di negeri ini yang akan diberi lebih tumpuan pada Op Selamat ke-26 bermula 19 hingga 24 Mac depan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, seramai 32 pegawai kanan bersama 223 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak akan ditugaskan sepanjang operasi sempena Hari Raya Aidilfitri itu.

“Fokus utama Op Selamat 26 adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, mengurangkan kes kemalangan jalan raya, menjamin keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

“Selaras dengan pelaksanaan operasi ini dan kerjasama pasukan sahabat, orang ramai diharapkan dapat bersama-sama meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dengan lebih berhati-hati dan sentiasa bertimbang rasa ketika memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 26 peringkat Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya, pihak polis turut melaksanakan dua fasa Op Lancar, iaitu fasa pertama bermula 19 hingga 20 Mac depan dan fasa kedua dari 27 hingga 29 Mac.

Katanya, Op Lancar itu akan memberi tumpuan kepada kawasan yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas susulan peningkatan pergerakan pengguna jalan raya.

“Dijangka berlaku peningkatan aliran trafik antara 18 hingga 20 Mac depan iaitu Rabu hingga Jumaat, sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding hari biasa.

“Bagi kenderaan barangan pula, larangan pemanduan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada 19 hingga 20 Mac sebelum perayaan dan 28 hingga 29 Mac selepas sambutan tersebut,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam Op Selamat 24 yang lalu, sebanyak 960 kes kemalangan direkodkan, termasuk 10 kemalangan maut.

“Bagi Op Selamat 26 kali ini, fokus utama adalah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak lima peratus, selain memberi penekanan terhadap keselamatan pengguna jalan raya melalui penguatkuasaan saman bagi enam kesalahan utama.

“Antara kesalahan tersebut ialah memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi ketika memandu,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top