hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis percaya remaja Britain berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di negara asal dan masuk ke Malaysia Jun lalu, masih berada dalam negara.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti semua maklumat yang boleh membantu usaha mengesan dan menyelesaikan kes berhubung kehilangan remaja itu.
Katanya, kes disiasat oleh JSJ dan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
“Siasatan awal polis mengesahkan remaja berkenaan memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai masih berada dalam negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-7369187,” katanya.
Hari ini media melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan remaja Britain yang dilaporkan hilang di negara asal masuk ke Malaysia Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan semakan rekod mendapati individu berkenaan tiba melalui KLIA, Sepang pada 7 Jun.
Semalam, media melaporkan remaja warga Britain itu dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan dari negara itu ke Kuala Lumpur pada Jun lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
David Balisong, remaja lelaki dari Cheadle, Greater Manchester, ada memberitahu adiknya dia akan keluar awal untuk ke sekolah disebabkan sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat A, pada 6 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd