Polis perhebat carian banduan warga Pakistan

Polis perhebat carian banduan warga Pakistan

hafidzul@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Polis kini memperhebatkan operasi memburu dan menjejaki seorang banduan tahanan reman yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, usaha mencari dan menangkap suspek masih lagi diteruskan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Beliau berkata, pengoperasian berkenaan kini digerakkan pada skala yang lebih besar dengan bantuan daripada pelbagai agensi.

“Ia membabitkan atur gerak Pasukan Gerakan Am (PGA), Pangkalan Gerakan Udara (PGU) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

“Bagi mengekang suspek daripada meloloskan diri keluar dari negara ini, pihak berkuasa turut mengambil langkah berjaga-jaga yang proaktif.

“Pihak berwajib yang menjaga pintu persempadanan negara juga telah dimaklumkan agar sentiasa peka dan memperketatkan pemeriksaan untuk kebarangkalian banduan melarikan diri ke luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Hafiz memberikan jaminan kepada masyarakat tahap keselamatan awam pada ketika ini masih lagi terpelihara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak berasas yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran masyarakat dan menggugat ketenteraman awam.

“PDRM menyeru mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan banduan tersebut untuk tampil membantu pihak berkuasa,”katanya.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhendran a/l Chandra di talian 010-4304383 atau menerusi Hotline Bilik Operasi Search And Capture (SAC) di talian 03-61401096.

Terdahulu, polis dilaporkan giat memburu seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam sebelum operasi mengesan banduan tersebut segera dilancarkan.

Tahanan berkenaan, Muhammad Hassan, 24, menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat, Seksyen 392 kanun sama bagi kesalahan merompak dan kesalahan imigresen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top