Polis rakam 5 keterangan susulan 2 kanak-kanak ditemukan tepi jalan

Polis rakam 5 keterangan susulan 2 kanak-kanak ditemukan tepi jalan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Polis sudah merakam lima keterangan saksi termasuk pengasuh berhubung kejadian dua kanak-kanak lelaki ditemukan selamat di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi selepas keluar dari rumah ketika pengasuh sedang tidur, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatanuntuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, lima keterangan sudah dirakam dan kita baru buka kertas siasatan. (Apabila kertas siasatan) sudah lengkap saya akan maklumkan (tindakan selanjutnya),” katanya di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, dua kanak-kanak lelaki ditemukan selamat selepas keluar dari rumah ketika pengasuh sedang tidur di kediaman mereka.

Naazron dilaporkan berkata, Polis Daerah Kajang menerima dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun di Balai Polis Bangi pada 11.57 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal, kanak-kanak itu ditemukan oleh orang awam dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top