Polis telah merampas enam jenis ubat dari kediaman usahawan serta pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridzokumura, bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura, pada Jumaat lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan terus dijalankan dengan mengambil kira pelbagai aspek.
Hussein menjelaskan pihak polis sedang meneliti sama ada mangsa mempunyai sebarang masalah kesihatan atau kemurungan yang memerlukan pengambilan ubat-ubatan tertentu.
“Ada beberapa ubat dalam bentuk pil yang kita rampas daripada rumah itu (tempat kejadian) yang dipercayai daripada Jepun (negara asal Akiko).
“Kita akan dapatkan bantuan daripada pihak kedutaan (Jepun) untuk kenal pasti apa ubat-ubat yang dia (Akiko) ambil, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ketika ditanya mengenai sejarah perubatan Akiko, Hussein berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada mangsa pernah menerima rawatan kemurungan di Malaysia atau di negara asalnya, Jepun.
Pihak polis juga akan mendapatkan bantuan pakar dari Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti kandungan dan kegunaan ubat-ubatan yang dirampas.
“Sekiranya kita perlukan bantuan pihak di Jepun untuk kita dapatkan maklumat lanjut berhubung ubat-ubatan ini, maka kita akan minta bantuan pihak kedutaan Jepun,” tambahnya.
Sehingga kini, polis telah mengambil keterangan enam individu, termasuk suami mangsa serta anaknya.
“Empat lagi individu yang dirakam keterangan adalah kakitangan hospital yang menjalankan bedah siasat serta saksi awam yang ada di tempat kejadian semasa mayat mangsa ditemui,” kata Hussein.
Semalam, beliau turut mengesahkan wanita warga Jepun berusia 50-an yang dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, adalah Akiko.
Walaupun kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah ditemukan setakat ini, pihak polis tetap akan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk dari sudut kriminologi.
Jenazah Akiko telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, pada Sabtu lalu.




