suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gua Musang: Polis merampas pelbagai jentera dan peralatan bernilai RM640,729 serta menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan emas haram dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Ladang Sawit Sungai Terah, di sini, semalam.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.
“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan operasi menjalankan serbuan pada jam 6 petang, dan menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan, masing-masing seorang warga Malaysia dan seorang warga Myanmar.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen perlombongan yang dibenarkan, sekali gus membawa kepada tangkapan dan tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dalam operasi ini, katanya, pihak berkuasa menyita pelbagai jentera dan peralatan perlombongan termasuk dua unit jentera pengorek hidraulik, sebuah kenderaan Toyota Hilux, enjin pam penyedut, palong, karpet pemprosesan serta diesel yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM640,729.40, melibatkan nilai kenderaan serta mesin dan peralatan perlombongan.
“Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.
Rosli berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi khazanah negara secara haram demi kepentingan peribadi.
Menurutnya, pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi operasi bersepadu pelbagai agensi seperti ini membolehkan tindakan pantas dan menyeluruh meliputi aspek jenayah, tanah, imigresen dan keselamatan negara.
“Aktiviti perlombongan emas secara haram bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada negara dari segi hasil, malah membawa ancaman serius terhadap alam sekitar, keselamatan awam serta kedaulatan undang-undang.
“Tindakan tegas dan bersepadu akan terus dilaksanakan tanpa pengecualian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan akan terus mempergiatkan operasi risikan dan penguatkuasaan secara berkala, khususnya di kawasan berisiko tinggi, bagi memastikan sumber negara dilindungi dan undang-undang ditegakkan secara konsisten.
“PDRM turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti perlombongan haram kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



