Polis menahan lima suspek termasuk pasangan suami isteri dan merampas 510 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta menerusi tiga serbuan di sekitar Wang Kelian, Padang Besar, Perlis minggu lalu.
Kejayaan itu sekali gus melumpuhkan sindiket yang menggunakan taktik licik dengan membawa ahli keluarga ketika mengangkut dadah bagi mengaburi pihak berkuasa, seolah-olah sedang bersiar-siar.
Sindiket yang aktif sejak Ogos 2025 itu turut mengupah individu sebagai ‘tentera semut’ untuk menyeludup dadah merentasi hutan sempadan, selain menggunakan laluan perairan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasangan suami isteri itu ditahan bersama seorang lagi suspek selepas polis memintas dua kenderaan di Jalan Utama Wang Kelian pada 24 Mac lalu.
Beliau berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan suspek yang cuba melarikan diri dalam keadaan berbahaya sebelum kenderaan itu terbabas.
Pemeriksaan kemudian menemukan 20 guni mengandungi 500 peket methamphetamine.

“Susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki yang bertindak sebagai tonto turut ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan sama pada 27 dan 28 Mac lalu.
“Ketua sindiket bagaimanapun dipercayai sempat meloloskan diri ke Thailand dan usaha memburunya giat dijalankan.
“Semua lima suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 37 tahun, dengan ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada mereka positif methamphetamine.
“Semakan mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dengan seorang daripadanya mempunyai 11 rekod lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan, Lembah Klang dan selatan, serta berpotensi merosakkan 2.55 juta individu.
Katanya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan enam kenderaan termasuk trak pikap dan lapan motosikal bernilai RM566,200.
“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.




