bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Polis merampas 34.69 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.24 juta menerusi dua operasi berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi yang dijalankan membabitkan dua sindiket berlainan membawa kepada penahanan tujuh individu tempatan termasuk dua wanita berusia 29 hingga 43 tahun.
Dadah yang dirampas bagi kedua-dua operasi ini boleh digunakan seramai 173,450 penagih.
“Pada 7 Ogos lalu, kira-kira jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Batu Pahat menjalankan tiga serbuan di sekitar Batu Pahat.
“Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu dan hasil saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis Morphine selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Ia kemudiannya membawa kepada tangkapan susulan terhadap tiga individu termasuk sepasang suami isteri. Semua suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Modus operandi penyeludupan dadah ini dengan menggunakan perkhidmatan tekong laut bagi menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negeri utara selain sindiket ini beroperasi sejak awal Julai lalu.
Rampasan dadah syabu membabitkan 29.48kg bernilai RM1.06 juta dengan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM1.09 juta, selain empat suspek itu direman tiga hingga tujuh hari bermula 7 hingga 14 Ogos ini.
Dalam operasi berasingan pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 12 tengah malam, polis menahan tiga lelaki tempatan bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu sekitar Seri Alam, di sini.
“Semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan hasil semakan rekod mendapati semuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Dadah yang dirampas ini adalah bagi pasaran tempatan sekitar Johor Bahru dan sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal Januari lalu.
“Rampasan dadah membabitkan 5.21kg syabu bernilai RM187,848 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan adalah RM697,658 dan semuanya direman tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




