Polis rujuk laporan Alya Iman kepada SKMM

Polis rujuk laporan Alya Iman kepada SKMM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan dibuat pelakon, Alya Iman berhubung fitnah di media sosial yang mengaitkan dirinya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, bagaimanapun siasatan akan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita (polis) rujuk kepada SKMM,” katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Alya Iman membuat laporan polis susulan dakwaan mengaitkan dirinya sebagai punca keretakan rumah tangga Zizi dan Yusuf.

Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, menerusi kenyataan berkata, tuduhan tidak berasas yang tular di media sosial itu bukan sahaja menjejaskan imejnya sebagai anak seni, malah memberi tekanan besar terhadap kesihatan mentalnya.

Akibat daripada isu itu, Alya mendakwa menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci serta melabel dirinya.

Alya dilaporkan berkata, laporan polis dibuat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, malah sebagai satu bentuk peringatan kepada individu yang sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu tanpa bukti.

Pelakon itu turut memuat naik gambarnya mengenakan kebaya hijau ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kemelut rumah tangga Zizi dan Yusuf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top