Polis sahkan 4 kenderaan rosak digesel treler di R&R Ayer Keroh

Polis sahkan 4 kenderaan rosak digesel treler di R&R Ayer Keroh

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan empat kenderaan mengalami kerosakan dalam kemalangan tular membabitkan sebuah treler di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku akibat kenderaan yang diparkir di bahu jalan berkenaan menghalang pergerakan treler.

“Treler berkenaan tidak membawa muatan, memasuki laluan kenderaan berat dan mendapati terdapat beberapa kenderaan berhenti (diletakkan) di bahu kiri dan kanan jalan, selain laluan turut terhalang oleh kenderaan lain.

“Akibat keadaan itu, treler berkenaan bergesel dengan empat kenderaan diletakkan di kiri dan kanan jalan dan menyebabkan kerosakan pada kenderaan-kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun jika disabitkan kesalahan.

Justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhemah ketika memandu dan diingatkan agar mematuhi peraturan trafik khususnya di kawasan sesak seperti R&R, laluan susur masuk dan lain-lain.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, satu insiden tular di media sosial membabitkan sebuah treler melanggar tiga kenderaan di kawasan R&R Jejantas Ayer Keroh, di sini.

Menerusi rakaman video dan gambar yang dikongsi orang awam, beberapa kenderaan termasuk Perodua Alza yang parkir di bahu jalan dilihat mengalami kerosakan selepas dilanggar sebuah treler yang mahu memasuki laluan ke R&R itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ia kini disiasat Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR), Bukit Aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top