Polis sahkan kehadiran di rumah Caprice, hantar surat panggilan saksi

Polis sahkan kehadiran di rumah Caprice, hantar surat panggilan saksi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan kehadiran pegawainya ke kediaman penyanyi rap, Caprice, di sini, baru-baru ini bagi menyerahkan surat panggilan saksi kepada selebriti itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia bagi membantu siasatan membabitkan laporan yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ke atas Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli pada 31 Julai lalu.

“Pada 21 Ogos pihak polis terkesan satu klip video tular berdurasi tiga minit sembilan saat yang dimuat naik di Instagram milik Caprice memaparkan beberapa orang pegawai polis datang ke kediamannya.

“Tindakan ini adalah bertujuan bagi menyerahkan surat panggil saksi oleh pihak polis di bawah seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, laporan ke atas Caprice dibuat seorang lelaki yang mendakwa penyanyi itu membuat hantaran berunsur mesej kebencian, tuduhan, kecaman dan menerima serangan di ruangan komen.

Katanya, pengadu mendakwa hantaran itu dibuat bagi memfitnah watak serta merosakkan reputasi mengadu.

Fadil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular di media sosial satu klip video memaparkan Caprice membuat panggilan telefon dipercayai kepada seorang pegawai polis lalu mempersoalkan kehadiran individu dikatakan polis namun berpakaian preman di kediamannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top