Polis sahkan kematian Nur Qaseh Deandra akibat lemas

Polis sahkan kematian Nur Qaseh Deandra akibat lemas

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Laporan bedah siasat ke atas Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, kanak-kanak perempuan yang ditemui maut selepas jatuh longkang di Bandar Mahkota Cheras, di sini mengesahkan punca kematian akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui pada 12.17 tengah hari tadi di tepi Sungai Langat, Batu 12, berhampiran Jalan Reko di sini pada jarak 10.6 kiometer dari lokasi jatuh.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk dijalankan bedah siasat dan mendapati punca kematian adalah lemas.

“Siasatan dijalankan mengikut klasifikasi Mati Mengejut (SDR) dan jenazah sudah diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk unit K9 dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Kesihatan Daerah ( PKD ), Indah Water Kondortium Sdn Bhd (IWK) NGO Rescue Bencana Malaysia (RBM), CSR Gold Hand (Bantuan Underwater Drone) dan orang awam.

“Ia dihentikan susulan penemuan ini dan polis Kajang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu urusan SAR,” katanya dalam kenyataan.

Naazron turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi yang berlaku.

Terdahulu media melaporkan mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu yang hilang sejak kelmarin ditemui dalam operasi SAR hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top