am@hmetro.com.my
Serdang: Polis mengesahkan kejadian kes serangan terhadap aktivis, S Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Saya sahkan kejadian itu dan sidang media akan diadakan esok,” katanya secara ringkas kepada Harian Metro.
Terdahulu, Chandra dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya, dua lelaki tidak dikenali membuka pagar kediamannya semalam.
Menurutnya, suspek yang memakai topeng hitam dan membawa parang itu kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kira-kira enam individu menaiki dua kenderaan dipercayai berada di luar rumah ketika kejadian.
Kejadian tidak terhenti di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira jam 3.20 pagi tadi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol (molotov cocktail).
Akibat itu, tiga kenderaan miliknya musnah terbakar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




