Polis sahkan kilang diperiksa dalam Op Patuh – Utusan Digital

SHAH ALAM: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengesahkan kejadian sekumpulan pekerja kilang lari berlaku di kawasannya di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kilang berkenaan diserbu polis dalam Operasi (Op) Patuh Bersepadu yang dijalankan di sana.

 

Menurut beliau, operasi berkenaan diadakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Manusia serta pihak berkuasa tempatan (PBT), namun berasingan dengan operasi diketuai Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim di Pulau Indah pagi tadi.

“Semakan mendapati bukan semasa operasi yang sedang dijalankan bersama timbalan menteri,” katanya kepada Utusan Online.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan satu video tular dalam media sosial memaparkan sekumpulan pekerja kilang dipercayai di Klang, Selangor bertempiaran lari meninggalkan premis dan masuk ke dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Berdasarkan video itu juga, hanya sebahagian pekerja yang lari dan dipercayai mereka adalah pekerja asing yang takut ditangkap ketika pemeriksaan polis terhadap kilang terbabit.

“Woi lari, lari.. polis, polis. Lari, lari. Hah tau pun takut,” demikian dialog yang dapat didengari menerusi rakaman video itu.

Sebelum ini, turut tular sebuah rakaman video yang memaparkan pekerja kilang memanjat pagar lari meninggalkan tempat kerja di Seksyen 22, Shah Alam.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan pekerja kilang terbabit lari selepas terdengar bunyi penggera kebakaran dan menafikan pihaknya membuat serbuan di sana.

Sebagai makluman, lapan daerah di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 16 Julai ini.

Susulan penguatkuasaan itu, beberapa kilang bukan perlu (essential) yang sebelum ini mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak dibenarkan beroperasi.

Malah, jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja bagi sektor dibenarkan masih kekal tidak melebihi 60 peratus. – UTUSAN ONLINE