hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk di lapangan terbang negara dalam menjalankan siasatan susulan seorang lagi warga Malaysia ditahan kerana didakwa cuba menyeludup dadah di Indonesia.
Lelaki itu dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung penahanan suspek berusia 22 tahun itu daripada pihak berkuasa negara berkenaan.
Katanya, lelaki terbabit ditahan bersama empat bungkusan yang mengandungi satu kilogram (kg) syabu dan empat bungkusan mengandungi kira-kira 1,000 pil estasi (MDMA).
“Lelaki itu berasal dari Johor. Bungkusan (dadah) itu dibalut dan dilekatkan pada badannya.
“Dia menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah (di negara ini),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk di lapangan terbang negara dalam menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes berkenaan.
“Perkara lain masih dalam siasatan lanjut kami,” katanya.
Terdahulu, portal berita Indonesia melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun selepas didakwa menemui hampir 1 kg methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo.
Suspek yang dikenal pasti dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, kata pihak berkuasa pada Isnin.
Menurut pihak berkuasa, pegawai menemui empat bungkusan yang mengandungi gabungan 990 gram methamphetamine dan empat bungkusan yang mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dibalut pada badannya.
DI didakwa bersetuju bekerja sebagai penghantar untuk rangkaian dadah antarabangsa kerana sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mempunyai hutang.
Pihak berkuasa menganggarkan dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran sekitar Rp2.79 bilion (RM715,000).
Terdahulu, dalam kes berasingan, seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai lalu.
Pemeriksaan itu menemukan 14 bungkusan yang mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan berat 25.19 kilogram. Pegawai turut menemui 2.7 gram methamphetamine dalam sebuah beg galas hitam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




