am@hmetro.com.my
Kuching: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pelajar di sebuah sekolah di sini yang tidak tahan diganggu dan diugut rakan sekelas.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan ugutan melalui komunikasi, kerana melakukan perbuatan mengancam, menghina atau mengaibkan melalui sebarang bentuk komunikasi.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan laporan yang diterima, tidak pula disebut ugutan untuk menikam mangsa seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.
“Ya kes dalam siasatan, iaitu laporan pelajar diganggu rakan sekelas, namun tiada pula ayat nak tikam 300 kali,” katanya ketika diminta mengulas laporan portal berita terbabit yang mendakwa berlaku kes buli di sebuah sekolah di sini.
Laporan portal itu mendakwa seorang pelajar perempuan dibaling dengan batu dan diugut dengan ganas oleh dua rakan lelaki sekelasnya.
Laporan itu memetik Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, berkata beliau menerima laporan mengenai kes itu daripada ibu bapa mangsa, yang mendakwa anak perempuan mereka diganggu secara lisan dan fizikal oleh dua pelajar lelaki di dalam kelasnya.
Foo dilaporkan berkata kejadian itu berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kuching pada 21 Oktober lalu.
Menurut Foo, pelajar lelaki itu dikatakan turut merujuk kepada kes rogol dan pembunuhan di sebuah sekolah baru-baru ini dan mengancam untuk ‘menikamnya’ 300 kali selepas menyerangnya secara seksual.
Ancaman itu membuatkan gadis itu ketakutan dan dia segera melaporkan kejadian itu kepada ibu bapanya dan pihak sekolah.
Menurut Foo lagi, pihak sekolah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa semua pelajar terbabit pada 22 Oktober dan anggota polis turut diarah ke sekolah untuk menilai keadaan.
Pihak sekolah juga dilaporkan memutuskan untuk menggantung kedua-dua budak lelaki itu selama tiga hari dan memindahkan salah seorang daripada mereka keluar dari kelas, manakala polis mengeluarkan amaran lisan dan mengarahkan mereka untuk memohon maaf kepada mangsa secara bersemuka.
Pihak sekolah juga sudah memberikan cuti sehari kepada mangsa, namun ibu bapanya yang bimbang tentang keadaan psikologinya, melanjutkan cutinya sehingga 30 Oktober dan mengatur sokongan kaunseling.
© New Straits Times Press (M) Bhd




