Kuala Lumpur: Polis mengesahkan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Khalid berkata, pihaknya sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




