Seoul: Polis Seoul pada Rabu lalu memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan saman sivil bagi menuntut ganti rugi daripada seorang lelaki yang membuat lebih 100 laporan kecemasan palsu dalam tempoh sembilan bulan dalam percubaannya untuk dipenjarakan, lapor The Korea Herald.
Agensi Polis Metropolitan Seoul berkata, pihaknya menuntut pampasan sebanyak 7.6 juta won (kira-kira RM26,600) daripada suspek berusia 60-an itu yang didakwa membuat 108 panggilan kecemasan palsu antara 27 Februari hingga 27 November 2025.
Laporan berkenaan termasuk ancaman letupan gas berulang kali dengan suspek dilaporkan berkata, “Saya mahu dihantar ke penjara”.
Pihak berkuasa berkata, panggilan berkenaan mencetuskan pengerahan 168 anggota polis sekali gus mengganggu operasi keselamatan secara ketara.
Lelaki itu disabitkan kesalahan bulan lalu atas pertuduhan menghalang tugas rasmi melalui penipuan dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan yang ditangguhkan selama dua tahun.
Tuntutan sivil oleh polis terhadap individu kerana laporan palsu jarang berlaku, dengan kes terakhir seumpamanya direkodkan pada 2015 apabila seorang individu yang membuat tuduhan palsu berkaitan sindiket pelacuran diarahkan membayar ganti rugi 1.25 juta won (kira-kira RM4,300).
Di seluruh negara, polis menerima 5,107 laporan palsu pada tahun lalu iaitu meningkat 23 peratus berbanding 4,153 kes pada 2021.
Polis memberi amaran bahawa mereka tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sedemikian dengan menyifatkannya sebagai jenayah serius yang menjejaskan perkhidmatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




