am@hmetro.com.my
Kampar: Polis mengeluarkan saman terhadap pemandu lori tular yang menghalang laluan jentera pasukan bomba dan penyelamat ketika dalam perjalanan ke satu destinasi dengan memasang siren kecemasan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, saman dikeluarkan ke atas pemandu lori itu mengikut Seksyen 9(2) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana gagal memberi laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan.
Mohamad Nazri berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori kabin terbabit tidak menyedari kehadiran jentera bomba disebabkan bunyi enjin yang kuat dengan keadaan tingkap tertutup sepenuhnya.
“Ia menyukarkan pemandu lori itu mendengar siren jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Susulan penularan video itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, video itu tular dengan memaparkan jentera bomba dilihat berusaha memotong laluan lori.
Bagaimanapun, lori berkenaan seolah-olah tidak memberi laluan sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan dan keutamaan kenderaan penyelamat ketika menjalankan tugas kecemasan.
Mohamad Nazri berkata, menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis, dan bomba apabila siren atau lampu amaran digunakan.
“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja kesalahan undang-undang malah boleh menjejaskan kelancaran operasi penyelamatan dan mengancam nyawa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd