am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tempoh tahanan reman tiga suspek yang terbabit dalam akaun TikTok milik wanita menggunakan nama Ratu Nur Puteri Ratu Balqis akan disambung tiga atau empat hari.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tempoh reman dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu yang berakhir esok dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, tiga individu yang ditahan itu adalah ahli keluarga.
“Lelaki terbabit adalah abang kepada wanita dewasa manakala remaja perempuan pula anak kepada wanita itu. Remaja terbabit sudah tidak lagi bersekolah dan tidak bekerja.
“Setakat ini kita ada menerima dua hingga tiga laporan polis di Johor berhubung kes ini.
“Bagaimanapun mereka didapati tidak mempunyai pengikut setakat ini,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, berkaitan persoalan sama ada mereka memiliki masalah kesihatan mental, pihaknya tidak dapat memberi sebarang pengesahan.
“Kita masih tidak dapat mengesahkan status mentalnya tetapi selesai siasatan kita jalankan bergantung kepada arahan pihak mahkamah sama ada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatri hospital atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama siasatan terhadap mereka dijalankan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Menurutnya, pihaknya juga tiada maklumat sama ada suspek lelaki adalah seorang noja di sebuah masjid.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengakuan wanita terbabit dan beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video tular sejak Jumaat lalu.
Beliau berkata, video klip yang tersebar itu didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.
Menurutnya, individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.
Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.
Akaun TikTok memaparkan beberapa video menunjukkan wanita itu membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




