Shah Alam: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal tuduhan menyalah guna kuasa bagi menahan reman 14 hari seorang wanita Vietnam sebagaimana didakwa seorang peguam melalui satu laporan portal berita semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, pada 13 Mac lalu polis menjalankan pemeriksaan di sebuah restoran di Klang dan menahan seorang lelaki Cina yang merupakan pemilik premis kerana disyaki menggajikan empat lelaki Myanmar dan enam wanita Vietnam tanpa permit yang sah.
“Seterusnya semakan mendapati enam wanita Vietnam itu gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Jangkitan) 1988.
“Pihak polis menyangkal sekeras-kerasnya menyalah guna kuasa tahanan reman orang kena tuduh selama 14 hari itu, sebaliknya pihak polis menunggu laporan semakan ketulenan dokumen perjalanan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin selepas laporan itu diperolehi, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.




