Polis saran guna laluan alternatif masuk Gua Musang

Polis saran guna laluan alternatif masuk Gua Musang

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Pengguna jalan raya yang mahu ke Pasir Mas, Machang dan Kota Bharu disaran menggunakan laluan alternatif di Jalan Pulai ke Bandar Gua Musang, seterusnya menyusuri Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, selain itu pengguna juga boleh menggunakan Jalan Pulai dan Jalan Gua Musang-Jeli sebagai jalan alternatif untuk ke Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kota Bharu.

Katanya, laluan alternatif berkenaan disarankan bagi mengurangkan implikasi trafik di laluan utama susulan pertambahan kenderaan bagi sambutan Aidiladha esok.

“Setakat ini anggota kami sudah membuat penarikan trafik bagi melancarkan pergerakan kenderaan perantau yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Selain itu pengguna digalakkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Pulai, melalui hadapan IPD dan seterusnya ke Jalan Gua Musang-Kuala Krai, juga Jalan Pulai ke Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pemantauan trafik ketika ini menunjukkan kesesakan masih berlaku di pintu masuk Kelantan di daerah ini, khususnya dekat Kampung Mentara yang sepanjang lima kilometer.

Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mengamalkan sikap tolak ansur dan memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik serta mendapatkan rehat secukupnya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan menjelang Aidiladha dan peningkatan trafik dijangka lebih tinggi berbanding pada musim perayaan Aidilfitri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top