mdroji@bh.com.my
Kuching: Polis Kontinjen Sarawak bersedia sepenuhnya untuk membantu kontinjen Sabah dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata bantuan akan diberikan mengikut keperluan, terutama ketika tempoh kempen yang lazimnya mencabar dari segi kawalan keselamatan dan pergerakan orang ramai.
Beliau berkata, sebagai kontinjen paling hampir dengan Sabah, menjadi tanggungjawab polis Sarawak untuk menyalurkan bantuan sumber manusia dan logistik apabila diperlukan.
“Kita menunggu apa juga perkembangan berhubung PRN-17 Sabah dan akan memberikan bantuan sepenuhnya sekiranya diminta oleh kontinjen di sana,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun jumlah anggota belum ditentukan setakat ini, namun polis Sarawak bersedia menggerakkan kekuatan yang diperlukan mengikut penilaian semasa.
“Sudah tentu bantuan dari segi sumber manusia akan banyak datang dari Sarawak kerana faktor geografi yang berdekatan dan kemudahan penghantaran anggota ke lokasi ditetapkan,” katanya.
Katanya, pihaknya juga sudah mula melakukan persiapan dalaman bagi mengenal pasti jumlah anggota yang boleh ditugaskan tanpa menjejaskan keperluan keselamatan di Sarawak sendiri.
Dalam masa sama, koordinasi dengan polis Sabah juga akan ditingkatkan bagi memastikan semua aspek keselamatan berjalan lancar sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasminya dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN17 diadakan dalam tempoh 60 hari sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima writ pengisytiharan pembubaran DUN Sabah daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, pada Selasa.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata penerimaan writ itu menandakan bermulanya proses rasmi bagi pelaksanaan PRN-17 Sabah.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting serta urusan berkaitan perjalanan PRN-17 Sabah, termasuk tarikh penamaan calon, pengundian awal, dan hari mengundi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




