mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu selepas keterangan dua individu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM)diambil 3.10 petang semalam dan selesai pada 4.30 petang.
Beliau berkata, 38 soalan diajukan kepada kedua-duanya namun mereka memilih untuk menjawab soalan di Mahkamah.
“Kita (polis) turut merampas sebuah telefon bimbit berserta simkad daripada salah seorang mereka untuk siasatan.
“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan sudah memangil dua individu itu.
Beliau berkata, siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara setelah siasatan lengkap.
Berdasarkan kenyataan rasmi daripada Pengerusi Sosialis Malaysia bertarikh 31 Mei lalu program itu ditangguhkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan peserta.
Dalam pada itu, 188 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung dakwaan penganjuran program itu.
Semua laporan diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu itu tular minggu lalu.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.
Program itu disifatkan sebagai mencetus sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ, Bukit Aman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




