Polis sedia siasat video judi disunting guna teknologi AI

Polis sedia siasat video judi disunting guna teknologi AI

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan segera menjalankan siasatan sekiranya terdapat penggunaan video promosi perjudian yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ni kes perjudian banyak menggunakan pempengaruh dan promosi bergambar.

Menurutnya, walaupun belum menerima laporan polis berkaitan video artis disunting menggunakan AI, namun siasatan akan dijalankan dan mereka yang menjadi mangsa sindiket diminta membuat laporan polis.

“Sebagai rekod, sebanyak 28 kertas siasatan Op Dadu dibuka membabitkan tangkapan pempengaruh di Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor pada 2024.

“Daripada jumlah kertas siasatan itu, sebanyak 18 kertas siasatan dituduh manakala 10 kertas siasatan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Razarudin berkata, dari tahun 2021 hingga 2024, polis sudah membuat 3,785 sekatan lama web berkaitan perjudian.

“Bagi tempoh 2024 hingga tahun ini pula, sebanyak 7,800 serbuan membabitkan perjudian dijalankan dengan 9,460 individu ditahan.

“Penggunaan teknologi canggih yang mempunyai tahap keselamatan tinggi antara kesukaran dihadapi PDRM dalam melakukan pembuktian jika suspek dituduh di mahkamah yang mana melibatkan kes perjudian khususnya Judi Dalam Talian (JOL),” katanya.

Beliau berkata, tiada istilah ‘perjudian dalam talian’ dalam undang-undang sedia ada menyukarkan tindakan penguatkuasaan dan kes sering dicabar di mahkamah.

“Peruntukan Undang-Undang yang lapuk dan tidak pernah dibuat penambahbaikan sejak 1953 di mana hukuman masih rendah serta mampu dibayar oleh pihak sindiket menjadi cabaran kepada PDRM.

“PDRM mengeluarkan amaran keras kepada individu yang terlibat dalam aktiviti judi ‘online’ bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi.

“Sindiket dan orang ramai yang terlibat dalam aktiviti ini boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top