Polis Selangor nafi kutip sumbangan majlis raya, sahkan cubaan 'scam'

Polis Selangor nafi kutip sumbangan majlis raya, sahkan cubaan 'scam'

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis Selangor menafikan penglibatan Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dalam penganjuran ‘Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026’ sebagaimana tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati mesej tular itu mendakwa majlis akan diadakan di Dewan Serbaguna IPK Selangor esok dan mengalu-alukan kutipan sumbangan ke akaun MBSB atas nama Norfadilah Md Nor.

“Mesej ini adalah tidak benar malah ini satu cubaan penipuan (scam) yang bertujuan mengaut keuntungan serta mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Justeru, Shazeli menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mesej terbabit dan tidak melakukan sebarang transaksi wang ke akaun yang dinyatakan.

“Bagi sesiapa jua yang sudah membuat sumbangan ke akaun yang dinyatakan, diminta hadir membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan nama jabatan atau identiti PDRM bagi tujuan penipuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top