Polis serbu dua rumah, rampas produk kosmetik tanpa kelulusan KKM

Polis serbu dua rumah, rampas produk kosmetik tanpa kelulusan KKM

mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Jadikan dua kediaman di Segambut, di sini, tempat simpanan kosmetik yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ia dijual dalam talian menggunakan platform media sosial.

Itu modus operandi seorang lelaki yang juga pemilik kediaman terbabit yang menjadikan dua kediamannya itu seperti stor menyimpan barangan kosmetik terbabit untuk dijual di media sosial.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki itu bersama dua lagi wanita warga asing terbongkar selepas pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman menjalankan serbuan di kediaman terbabit menerusi Op Taring Bravo 3 bermula jam 12.10 hingga 12.30 tengah hari, Rabu lalu, dengan nilai rampasan RM185,515.

Pengarah JKNDKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan dijalankan bersama pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pasukan pegawai penguat kuasa daripada KKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, operasi terbabit membabitkan serbuan yang dilakukan ke atas dua rumah kediaman yang terletak di Segambut, dan menahan lelaki berusia 40 tahun yang juga pemilik premis bersama dua wanita warga asing berusia 28 dan 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama, pasukan serbuan merampas sebanyak 1,972 kotak/bekas dan 2,551 botol pelbagai jenis produk kosmetik serta produk makanan tambahan yang tidak mempunyai KKM disimpan di dalam premis terbabit.

“Seterusnya, pemilik premis membawa pasukan serbuan bagi membuat pemeriksaan ke atas premis kedua. Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 180 kotak dan 895 botol pelbagai jenis produk kosmetik yang tidak mempunyai kelulusan KKM,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata, produk kosmetik dan makanan tambahan ini dipercayai disimpan bagi tujuan jualan dalam talian melalui platform media sosial.

“Kesemua barangan ini dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM185,515.

“Siasatan dijalankan oleh pihak KKM mengikut Peraturan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Beliau berkata, DBKL turut mengeluarkan satu notis mengikut Seksyen 26(1)(a) Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) (Akta 267) ke atas pemilik kerana menukar kegunaan bangunan dari kediaman kepada dagangan.

“Operasi ini dilancarkan bagi memutuskan rantaian pengedaran haram sebarang produk-produk kesihatan dan makanan yang tidak mempunyai kelulusan dari KKM.

“Ia juga bertujuan melindungi integriti pasaran farmaseutikal yang sah selain membanteras ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan pengguna,” katanya.

Katanya, pengguna di Malaysia dinasihatkan agar bersifat lebih peka dan bijak dalam menilai dan memilih produk-produk pemakanan dan kesihatan bagi kegunaan seharian dengan mengutamakan kualiti dan akreditasi yang diperakui oleh pihak berkuasa yang telah dilantik.

“Polis memberi amaran kepada pengendali platform laman sosial dan dagangan atas talian untuk memantau aktiviti jualan di platform masing-masing agar tidak menjual peralatan atau barang-barang yang menyalahi undang-undang.

“Orang awam juga dinasihatkan agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top