mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) menyerbu sebuah stor tersorok di dalam ladang kelapa sawit dan merampas minyak sawit mentah (CPO) yang dianggarkan seberat 30,148 tan bernilai RM152,090 dengan nilai rampasan keseluruhan RM645,890 menerusi Op Taring.
Pengarah JKNDKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan jam 7 malam, 15 Julai lalu, operasi bersepadu integrasi intra/inter agensi melalui Op Taring itu dijalankan oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu serta pasukan pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurutnya, serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stor tersorok di dalam ladang kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah berjaya menahan empat lelaki berusia 20 hingga 31 tahun dan turut merampas sebuah kepala lori berserta tangki yang mengandungi 30,000 liter CPO, van, tiga pam minyak bermotor berserta hos, sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter mengandungi 200 liter CPO, dan tangki plastik berkapasiti 1,400 liter mengandungi lebih kurang 1,400 liter minyak CPO.
“Turut dirampas sebuah tong dram berkapasiti 200 liter mengandungi lebih kurang 20 liter CPO, dengan keseluruhan rampasan CPO dianggarkan seberat 30,148 tan yang bernilai RM152,090, manakala nilai rampasan keseluruhan di dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM645,890.
“Siasatan dijalankan oleh pihak MPOB mengikut Peraturan 5(1)(b) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Azmi berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan yang sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan sebanyak lima saman POL 257 ke atas pemilik dan pemandu kenderaan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan iaitu lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu.
“Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan melibatkan CPO yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh MPOB, yang mana sekiranya tidak dikawal berupaya memberikan ancaman terhadap keselamatan makanan dan alam sekitar.
“Selain itu, penyelewengan CPO juga akan mengurangkan hasil cukai dan merugikan industri sawit yang menjadi penyumbang utama kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd