Polis siasat bendera Johor dipasang terbalik di pasar mini

Polis siasat bendera Johor dipasang terbalik di pasar mini

am@hmetro.com.my

Pontian: Polis membuka kertas siasatan berhubung pemasangan bendera Johor dalam keadaan terbalik di sebuah pasar mini di Pekan Nanas, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat.

“Siasatan awal mendapati pemasangan bendera berkenaan dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati lambang kebesaran negeri Johor.

“Ia sebaliknya berpunca daripada kecuaian pihak pemasang. Pemilik premis memberi kerjasama sepenuhnya dan tindakan segera diambil membetulkan keadaan bendera, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Akta Lambang dan Nama (Kawalan Mempamer) 1949 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mohammad Shofee menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum serta mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri hendaklah sentiasa mematuhi tatacara yang betul sebagai tanda penghormatan kepada negara dan negeri.

“Orang ramai dinasihatkan lebih peka dan memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul, terutama sempena bulan kemerdekaan. Polis akan terus menjalankan pemantauan dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak menghormati simbol negara serta negeri, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top