Polis siasat dakwaan dana majlis agama disalur untuk jenayah terancang

Polis siasat dakwaan dana majlis agama disalur untuk jenayah terancang

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis mendakwa dana yang disalurkan bagi tujuan kebajikan disyaki disalah guna untuk jenayah terancang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 40 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu, jam 11.05 malam di Balai Polis Kuala Terengganu.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan melakukan beberapa transaksi kepada beberapa individu atau pemilik akaun bank.

Katanya, transaksi dilakukan antara tahun 2020 hingga 2025, dengan membuat beberapa pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM148,000 kepada individu dan penama akaun.

“Dia melakukan pindahan wang secara atas talian sebanyak tujuh kali keseluruhan berjumlah RM148,000 ke akaun yang diarahkan.

“Mangsa menjelaskan bahawa tujuan pembayaran itu adalah atas dasar kepercayaan dan niat yang baik untuk kegunaan majlis agama, pembinaan madrasah serta program bantuan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, dana diberikan dengan anggapan ia akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan dan majlis agama.

Menurutnya, selepas itu mangsa memperoleh maklumat bahawa dana itu berkemungkinan disalah guna bagi tujuan peribadi atau aktiviti mencurigakan termasuk kemungkinan membabitkan pengubahan wang haram atau aktiviti jenayah terancang.

Katanya, mangsa menegaskan bahawa dirinya tiada sebarang hubungan dengan individu dan penama akaun serta tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti jenayah.

“Mangsa merasa tertipu dan teraniaya atas kemungkinan berlaku salah guna dana dan memohon supaya polis menjalankan siasatan terhadap pihak terbabit.

“Mangsa juga memohon menuntut semula jumlah wang yang diberikan sekiranya terbukti berlaku penyelewengan,” katanya.

Menurutnya, sumber kewangan mangsa adalah simpanan sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top