Polis siasat dakwaan unsur buli kematian pelajar 14 tahun

PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur buli dalam kematian pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah kediaman di Setapak, Selasa lalu.

Siasatan dijalankan susulan laporan dibuat ibu remaja itu kira-kira pukul 7.49 malam pada Rabu lalu berhubung dakwaan berlaku kejadian buli.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, susulan maklumat awal daripada laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada dakwaan tersebut mempunyai kaitan dengan kematian remaja berkenaan.

“Sebanyak 92 keterangan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan setakat ini. Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli, termasuk perbuatan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mencela yang menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, IPD Wangsa Maju menerima panggilan daripada seorang wanita sekitar pukul 1.59 pagi yang memaklumkan anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik kediaman mereka di Jalan Langkawi.

“Remaja itu kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan diberikan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 2.25 pagi.

“Bedah siasat kemudian dijalankan oleh Pegawai Perubatan Forensik HKL dan satu Laporan Mati Mengejut dibuka,” katanya.

Fadil turut memaklumkan bahawa remaja itu adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Setapak.

Beliau meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kes itu supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdial Singh melalui talian 03-93899222 atau 012-4806062

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan dalam media sosial bahawa remaja itu berkemungkinan menjadi mangsa buli.

Susulan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dimaklumkan terdapat laporan awal yang menyentuh kemungkinan wujud unsur buli secara verbal termasuk kata-kata berunsur perkauman.

Beliau turut menggesa supaya siasatan menyeluruh, telus dan adil dilakukan dengan segala kemungkinan diteliti bagi memastikan kebenaran dapat diketahui.-UTUSAN

Scroll to Top