Polis siasat elemen jenayah kes budak 5 tahun hilang

Polis siasat elemen jenayah kes budak 5 tahun hilang

SEBERANG PERAI – Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sedang menjalankan siasatan sama ada wujud elemen jenayah dalam kes kanak-kanak perempuan berusia lima tahun hilang hampir 24 jam di Taman Perda, Kuala Muda, Penaga di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, ia susulan terdapat kesan kecederaan pada anggota badan kanak-kanak berkenaan.

“Ada luka di dagu, kepala serta kesan lebam pada anggota badan kanak-kanak berkenaan.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan daripada pihak doktor sama ada ia kesan jatuh atau wujud elemen jenayah.

“Buat masa ini siasatan sedang dijalankan tambahan pula, kanak-kanak itu masih menerima rawatan di hospital selain dilaporkan berada dalam keadaan trauma,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kes siasatan akan diklasifikasikan selepas mendapat laporan daripada pihak hospital.

ARTIKEL BERKAITAN

Budak perempuan hilang lebih 24 jam masih trauma

Misteri budak 5 tahun hilang hampir 24 jam terungkai

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang hampir 24 jam selepas keluar bermain di rumahnya di Taman Perda Kuala Muda, Penaga di sini, masih berada dalam keadaan trauma.

Mangsa, Aish Rafeeqa Ammanda Abdul Fatah, 5, dilaporkan mengalami kecederaan di anggota badan akibat kejadian itu dan masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Ibu saudaranya, Noor Azliya Mohd Noor, 39, berkata, tiada apa-apa yang diceritakan Aish Rafeeqa Ammanda atau lebih mesra dengan panggilan Sharifah setakat ini berhubung kehilangannya hampir 24 jam.

Jelas wanita itu, sebaliknya, kanak-kanak itu dilihat trauma selain mahu berehat memandangkan kehilangnya agak lama tanpa sebarang makanan dan minuman. – MalaysiaGazette