harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan berasingan membabitkan pemilik akaun media sosial yang memuat naik kandungan disyaki berunsur hasutan, dan penyalahgunaan lambang diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga kes ini jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial yang dikhuatiri boleh menimbulkan hasutan, penghinaan dan permusuhan dalam masyarakat.
“Kes pertama membabitkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan akaun TikTok dengan membuat komen berunsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes kedua membabitkan seorang lelaki menggunakan akaun TikTok yang membuat hantaran mempertikaikan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru.
“Kandungan berkenaan berkemungkinan boleh mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes ketiga membabitkan penularan video memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning lengkap dengan tengkolok dalam sebuah majlis aqiqah yang disyaki menyalahgunakan lambang diraja.
Katanya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Manakala kes ketiga disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
M Kumar berkata, kesemua kesalahan terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun denda tidak melebihi RM5,000 bagi kesalahan Akta Hasutan, selain denda sehingga RM1,000 di bawah Akta Lambang dan Nama 1963.
Katanya, Seksyen 505 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




