Tampin: Polis sedang menyiasat kejadian khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Taman Desa Bakti, di Gemas, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Amiruddien Sariman berkata kejadian itu dilaporkan seorang lelaki pada 5.45 pagi selepas menyedari terdapat tompokan cat merah di bahagian pagar rumahnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau mana-mana entiti pinjaman tidak sah bagi mengelakkan ancaman terhadap keselamatan diri dan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Asyraf Supena di talian 014-2722529 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di 06-4431999, atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




