mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan berhubung kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (Micac) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 25 Oktober lalu mengenai akaun media sosial aplikasi X berkaitan sexual grooming.
Menurutnya, hasil semakan Micac D11, mendapati hantaran terbabit memaparkan tangkap layar sebuah akaun kumpulan Facebook berkaitan isu terbabit.
“Unit Micac D11 sudah memulakan proses risikan atas talian dan turut menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak MCMC untuk dibuat profiling awal sementara risikan atas talian diteruskan untuk menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Bahagian D11 bersama MCMC kini sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan MCMC ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak di akaun media sosial.
Beliau berkata, MCMC sedang bekerjasama dengan Meta dan D11 PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut.
“PDRM akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan itu, dan jika terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil.
“MCMC selaku agensi teknikal akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




