audreymd@nst.com.my
Georgetown: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular yang menunjukkan pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam keadaan bogel di sebuah tanah perkuburan di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 294 iaitu gangguan awam dan 509 Kanun Keseksaan terhadap gangguan seksual.
“Polis percaya insiden itu berlaku di salah satu tanah perkuburan di Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan sama ada kes ini berlaku baru-baru ini atau kejadian lama,” katanya kepada New Straits Times (NST).
Beliau turut mengesahkan bahawa satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian terbabit.
Dalam video berdurasi 38 saat itu, seorang lelaki dilihat bogel sepenuhnya dengan membelakangi kamera, manakala seorang wanita kelihatan separuh berpakaian sambil duduk di atas batu nisan.
Seorang wanita yang merakam video terbabit kedengaran menegur pasangan berkenaan, mendakwa ini bukan kali pertama mereka dilihat di lokasi itu.
Dalam video sama, lelaki itu dilihat tenang memakai semula seluar, manakala wanita yang merakam menegur mereka, mengingatkan bahawa tanah perkuburan adalah tempat untuk memberi penghormatan kepada si mati.
Lelaki itu kemudian memohon maaf, tetapi wanita itu menolak permohonan maafnya dan memberi amaran bahawa dia akan melaporkan kepada pihak polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




