am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis menemukan sebanyak lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 dalam sebuah beg di tempat pembuangan sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan beg berisi peluru itu daripada orang awam pada jam 1.40 petang.
Katanya, hasil siasatan mendapati beg itu ditinggalkan oleh individu yang tidak dikenali.
“Kita memandang serius kes ini dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan hubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011 2154 4465.
© New Straits Times Press (M) Bhd