hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis membuka siasatan berhubung patung mirip Perdana Menteri yang dipercayai dibawa peserta himpunan, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis mengesan patung terbabit di sekitar Masjid Negara dan mengambil rakaman video.
“Seperti mana kita jelaskan tempoh hari sekiranya ada salah laku yang melanggar undang-undang di mana-mana akta, kita akan ambil tindakan.
“Terdapat empat laporan diterima polis berhubung himpunan terbabit di mana satu kes (patung menyerupai Perdana Menteri) disiasat oleh USJT, manakala tiga lagi laporan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana membabitkan penerbangan dron,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dron tidak dibenarkan diterbangkan ketika himpunan terbabit.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada laporan diterima pihaknya berhubung dakwaan penyebaran risalah ekstremis ketika himpunan berkenaan.
“Setakat ini tiada laporan polis. Jika ada laporan, kita akan siasat,” katanya.
Sabtu lalu, polis melaporkan kira-kira 18,000 hadir ke perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka secara aman.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, semua elemen kawalan dilaksanakan secara profesional dan beretika.
© New Straits Times Press (M) Bhd