Polis siasat segala aspek, termasuk kecuaian

Polis siasat segala aspek, termasuk kecuaian

MUAR: Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk meneliti sekiranya terdapat elemen kecuaian sehingga mengakibatkan kematian empat beradik dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat tentang punca kebakaran tersebut.

“Dalam masa sama, kita juga menunggu proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pada pukul 2.30 petang ini.

“Sebaik semua laporan diterima, kertas siasatan akan dibawa kepada pendakwa raya dan sekiranya wujud elemen kecuaian yang dikemukakan pihak bomba atau unsur jenayah tidak disengajakan, fokus kita ke arah membawa kertas siasatan ini kepada pihak pendakwa raya untuk ‘study case’.

“Kita lihat sama ada kecuaian itu adalah kecuaian yang ketara atau satu ketinggalan jenayah atau pun satu ketinggalan jenayah yang tidak disengajakan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal setakat ini tidak menolak punca kebakaran berkemungkinan berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan.

Malam tadi media melaporkan empat beradik maut selepas kediaman mereka di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor di sini, terbakar.

Dalam kejadian pukul 7.49 malam itu, Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air di bahagian dapur rumah. – UTUSAN