Polis siasat suspek dadah cuba lari

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Siasatan sedang dijalankan berhubung insiden suspek dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah cuba melarikan diri sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan di hadapan pos pengawal Taman Bayu Mas, Cheras Hartamas, Cheras di sini, 22 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, suspek yang memandu sebuah kenderaan cuba ditahan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak memberhentikan kenderaan sebelum memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

“Akibat tindakan suspek, pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

“Suspek berjaya meloloskan diri namun berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan suspek kini masih dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kes masih dalam siasatan polis, justeru orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal di talian 016-9985730 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili suspek, Wong Khai Pun pada sidang media, hari ini mendakwa ketika kejadian, anak guamnya bersama dua anak berada dalam kenderaan ketika polis melepaskan tembakan.

Katanya, anak guamnya kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

© New Straits Times Press (M) Bhd