am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian membabitkan perlanggaran dua kenderaan dipercayai berlaku di Jalan Sekerat di sini, yang tular di media sosial, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu membabitkan Toyota Corolla dan Nissan Grand Livina.
Beliau berkata, pihaknya terkesan satu video yang tular di media sosial berkaitan kejadian itu pada 8.30 malam tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku 1.35 tengah hari selepas pengadu melihat kereta Grand Livina miliknya dilanggar lari oleh sebuah Toyota Corolla warna putih yang dipandu oleh seorang lelaki.
“Berikutan itu, pengadu mengejar kenderaan terbabit ke Jalan sekerat, kira-kira satu kilometer (km) dari tempat kejadian.
“Apabila suspek menyedari dia diekori pengadu, (kenderaan) suspek berpusing dan melanggar sisi kanan Grand Livina yang dipandu oleh pengadu.
“Suspek juga bertindak keluar dari kereta dan mencabar sebelum memaki hamun pengadu sebelum melarikan diri,” katanya.
Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, serta Kaedah 10 LN 166/59 kerana kegagalan mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd