Polis siasat video tular pergaduhan beberapa individu di Rawang

Polis siasat video tular pergaduhan beberapa individu di Rawang

Kuala Lumpur: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu dipercayai warga tempatan di Jalan Rawang-Batu Arang, dekat Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak Senior Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya mengesan video berkenaan selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram kira-kira 6 petang, semalam.

Susulan itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuat satu laporan polis maklumat pertama pada 4.24 petang ini untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Rawang-Batu Arang menghala ke Tol Rawang, sebelum susur masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Prakash Sithambaram di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top