Polis tahan 17 individu tawar pinjaman palsu

Polis tahan 17 individu tawar pinjaman palsu

KUALA LUMPUR: Polis menahan 17 individu disyaki bekerja di pusat panggilan untuk skim pinjaman tidak wujud dan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Pusat Perdagangan Puchong Prima, Taman Puchong Prima, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superintendan Abd Khalid Othman, berkata polis menyerbu sebuah kedai kira-kira jam 3 petang dan menahan lapan lelaki serta sembilan wanita termasuk pemilik premis, yang dipercayai pekerja pusat panggilan berkenaan.

“Selepas memeriksa premis itu, polis merampas beberapa barang digunakan untuk menawarkan dan mempromosikan pinjaman palsu kepada orang ramai.

“Barang yang dirampas itu termasuk 35 telefon bimbit, lapan komputer desktop dan sebuah komputer riba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 37 tahun, dibawa ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan skim pinjaman mereka di platform media sosial termasuk melalui pesanan di aplikasi WhatsApp, dengan menyasarkan pemilik perniagaan kecil dan tawaran pinjaman sehingga RM1,000.

“Kebanyakan laporan polis diterima menyatakan sindiket gagal memindahkan jumlah dipersetujui kepada pelanggan, tetapi masih menuntut pembayaran dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Suspek ditahan reman selama empat hari hingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top