Polis tahan 2 warga asing miliki senjata api, dadah

Polis tahan 2 warga asing miliki senjata api, dadah

am@hmetro.com.my

Butterworth: Dua lelaki warga asing ditahan bersama hampir sekilogram dadah dalam serbuan di sebuah bengkel kontena dekat Perai, di sini, awal pagi hari ini.

Serbuan jam 1 pagi oleh pasukan dari Balai Polis Perai itu turut menemui sepucuk pistol dan peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata pistol jenis Revolver 0.38 didapati disembunyikan pada pinggang seluar salah seorang suspek.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 21 butir peluru hidup yang diletakkan di dalam anak patung.

“Dalam serbuan itu, polis juga merampas dadah jenis methamphetamine seberat 931.43 gram (g) dan 10 biji pil Erimin 5 yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan.

“Turut dirampas sebuah kereta Nissan Almera dan peralatan menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 39 dan 53 tahun ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka sudah direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 27 Disember depan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top