Seremban: Polis menahan empat lelaki warga China dalam serbuan di sebuah rumah di sini kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan penjualan video lucah, minggu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Ahmad Lutfti Abdul Mutalip berkata suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditahan pada 23 April oleh pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu mengiklankan dan menyediakan video lucah menerusi sebuah laman web serta menggunakan aplikasi Tang Tang, Telegram dan WeChat bagi menarik pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas empat unit komputer, telefon bimbit pelbagai jenama (19), router (seunit), kunci dan alat kawalan jauh yang digunakan dalam jenayah itu dengan nilai rampasan dianggarkan RM10,000.
Semua suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




