Polis tahan 5 suspek kes gaduh

Polis tahan 5 suspek kes gaduh

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki hingga menyebabkan tiga mangsa cedera di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, susulan itu, pihaknya menahan lima suspek warga tempatan berusia 22 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 4.03 pagi dan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan pergaduhan itu untuk tindakan lanjut.

“Kejadian berlaku akibat salah faham antara empat hingga lima lelaki sehingga salah seorang lelaki mengambil tindakan melibas tangan mangsa menggunakan pisau lipat menyebabkan seorang mangsa mengalami luka dan kesan kelar di bahagian lengan kiri.

“Mangsa kedua mengalami kecederaan kesan kelar di muka sebelah kiri dari kening hingga ke bibir, manakala mangsa ketiga pula luka di bahagian kepala sebelah kanan dan menerima 10 jahitan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, semua mangsa sudah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan pihaknya akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek, hari ini.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top