suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan empat lelaki berusia 16 hingga 23 tahun bagi membantu siasatan kes samun sehingga mendatangkan kecederaan di Wangsa Maju, di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail, berkata pihaknya menerima laporan pada 5 November 2025 berhubung kes berkenaan yang membabitkan mangsa seorang lelaki berusia 21 tahun.
“Mangsa cuba meleraikan salah faham antara suspek dan rakannya, namun akibatnya beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka serta tangan akibat terkena kelaran pisau.
“Suspek juga dilaporkan melarikan barangan milik rakan pengadu ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, empat lelaki ditangkap bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Katanya, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) terhadap empat suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 November ini.
“Kes masih dalam siasatan,” katanya.
Hari ini Harian Metro melaporkan, polis sahkan lelaki ditetak dalam satu kejadian di Wangsa Maju, di sini, dengan rakaman video selepas kejadian itu tular di media sosial.
Dalam video berdurasi beberapa saat itu, mangsa dilihat berlumuran darah dengan kesan luka dipercayai akibat tetakan di bahagian dagu dan lengan kanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




